Ramadhan Tanpamu--

Bismillahirahmanirrahim ..

"Dengan NamaMu aku bermohon, semoga kedua ibu dan bapaku kau limpahi rahmatMu serta keredhaanMu. Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan Yang Maha Berkuasa, ampunilah dosa-dosa yang pernah mereka lakukan, semoga mereka sentiasa dalam lindunganMu. Ameen.."
Tuhan, mungkin sakit yang Engkau berikan ini sebagai tanda peringatan buatku. Mungkin juga sakit yang aku tanggung ini adalah sebagai tanda Engkau masih sayang padaku. Terima kasih Ya Allah.



Ketika sakit inilah aku terkenang kisah lalu, waktu itu aku sedang berteleku di dalam sebuah ruang kecil yang pada silingnya bertanda arah menuju ke kiblat.

Kala itu, airmata bukan setakat bergenang lagi, namun telah merembes tanpa segan silu dan malu. Tangan hina ini tiada henti bermohon supaya ibu disembuhkan. Bermula pada Ogos 2006 sehinggalah Ramadhan menjelma. Ibu masih sama. Ketika itu aku baru sahaja selesai menduduki PMR, dan ketika itu jua kenangan telah berubah menjadi mimpi buruk yang takkan aku biar terulang lagi. Biarlah itu aku simpan di dalam hati.

Selama sebulan aku berpuasa bertemankan bau ubat-ubatan dan suara manusia mengerang kesakitan, tak kira siang mahupun malam. Aku tak layak mengeluh kerana jika dibanding aku dengan ibu yang menanggung derita itu, dialah yang lebih layak.

Ketika itu aku benar-benar terjatuh. Bertubi-tubi masalah datang menimpa aku juga keluargaku. Mungkin itu adalah ujian Tuhan. Dalam jangka masa itu juga aku telah merancang untuk mencipta lembaran hidup yang baru. Bukan tanpa ibu tapi tanpa dia.

29 Ramadhan - Aku dan keluargaku menanti pengumuman Hari Kemenangan dari kaca tv hospital. Pemegang mohor telah mengisytiharkan bahawa Hari Raya jatuh pada hari lusa. Maka genaplah sebulan aku menemani ibu di hospital.

1 Syawal - Keluargaku datang ke hospital dan kami menyambut syawal dengan ibu. Tanpa kuih raya, tanpa sanak-saudara, juga tanpa kampung halaman. Ketika itu aku melihat ibu masih sama. Belum pulih walaupun sedikit, malah lebih teruk dengan alahan yang menjadi-jadi. Namun kami masih sabar. Doa tak pernah putus untuk melihat ibu pulih seperti biasa. Dalam hati ini, aku sangat yakin ibu akan kembali ke rumah seperti dahulu kala.

2 Syawal - Keluarga dari kampung bertandang menziarahi ibu. Sesak dan memenuhi ruang ketika itu. Dalam hati sangat girang kerana masih ada yang ingat pada kami sekeluarga, apa lagi ibu. Namun terdetik di benak ini, apakah maksud semua ini?
Petang itu keadaan ibu semakin parah. Ibu mengerang kesakitan dan menangis. Antara kenal dan tidak pada suami dan anak-anaknya, ibu mula menyuarakan hasrat hati agar dikebumikan disebelah kubur arwah datuk. Ketika itu aku melihat ayah mengasingkan diri, jauh dari ibu, jauh dari kami dan keluarga. Petang itu ibu dimasukkan ke dalam wad ICU. Koma.

3 Syawal - Doktor mengarahkan supaya ayah membeli susu khas dari farmasi berdekatan. Susu itu bukan susu biasa, ianya bernilai RM75.00 satu tin kecil dan sukar untuk didapati. Seharian ayah keluar untuk mencari susu untuk ibu. Asar itu, jantung ibu berhenti. Doktor mencari ayah namun kelibat ayah belum kunjung tiba. Sehinggalah maghrib tiba, akhirnya ayah datang bersama plastik berisi setin susu di tangannya. Ketika dikhabarkan tentang keadaan ibu, ayah meluru masuk ke dalam wad ICU. Agak lama ayah berada di dalam, aku melihat susu yang ayah beli tadi masih belum diguna. Sayu hati ini bila mengenangkan ayah juga adik-adikku. Isyak pun telah lama berlalu. Tepat pukul 9.00 malam ayah memanggil aku, kakak dan adik perempuanku masuk. Ayah mengarahkan supaya aku membacakan Yassin dan mengajar ibu mengucap. Ketika itu aku melihat airmata menitis di pipi ibu. Ayah kata, pohonlah maaf dari ibu, dia pasti dengar. Aku dan adik-beradikku mula menangis. Pukul 9.09 minit malam, jantung ibu berhenti. Doktor menggunakan renjatan untuk merangsang degupan jantung ibu, Ini adalah kali ke-3 denyutan jantung ibu berhenti. 9.10 malam, doktor mengesahkan bahawa ibu telah tiada. Ketika itu, adik bongsuku tiba-tiba meluru masuk dan memeluk ayah. Aku melihat ayah tersandar lesu dan menangis, akhirnya ibu pergi jua. Hatiku tertanya-tanya, mengapa tiada satu pun doa dari keluargaku yang Allah makbulkan. Namun, semua itu tiada guna. Ibu telah pergi menghadap Ilahi.

Syawal itu dipenuhi dengan suara tangisan penuh syahdu. Begitu juga pada syawal-syawal seterusnya. Sehingga ke hari ini, genaplah Ramadhan yang ke-5 ibu meninggalkan kami. Ya Allah, semoga kau tempatkan dia bersama roh orang-orang mukmin --

Aku rindu ibu !!!!

No comments:

Post a Comment