29 Mac 2014


Kalaulah,

Hati itu akan hancur setiap kali kecewa bercinta
Maka hati aku pasti sudah tiada rupa.
Pasti hati aku tidak boleh diguna semula.

Bukan atas alasan terlalu kerap bercinta
Bukan juga kerana sering kecewa.

Tapi,
Aku ini bila sekali mencinta
Aku akan benar benar cinta.
Jadinya,
Bila sekali kecewa
Aku akan benar benar kecewa.

Sungguh,
Aku masih gagal untuk faham,

Mengapa mereka yang sangat dicinta,
Tidak membalasnya dengan bahagia?
Sebaliknya,
Meninggalkan dengan luka dan airmata?


Nadiah Ayub

29 Mac 2014

I


Serius,
dalam hal yang satu ini
aku gagal untuk faham.
Kenapa kau lebih memilih sepi
lebih dari kekasihmu sendiri?

Mungkinkah,
sepi itu lebih membahagiakan dari aku?

Kalaulah aku lelaki,
aku takkan biar kekasihku merindu sendiri.
Sebab aku tahu, dia pasti sedih.


II


Kau tahu?
Rindu yang tidak berpenghujung cuma ada dua alasan mati.

Pertama,
kerana rindu itu untuk yang tak jemu berbagi kasih.
Kedua,
kerana rindu itu tak pernah dipeduli.

Rinduku?
Aku juga keliru.

Dimana letaknya kau rinduku?
Yang selalu berbagi kasih?
Yang tak pernah dipeduli?

Atau,

Yang sudah jemu oleh kekasihnya sendiri?

Ah intuisi ini. 
Mohon jangan pesimis dalam soal rindu dan hati.


Nadiah Ayub

27 Januari 2014


Ada sebab mengapa Tuhan hadirkan seseorang itu dalam hidup kita.
Samada kita yang akan mengubah hidup seseorang itu
atau seseorang itu yang akan mengubah hidup kita.

Tanpa berat hatinya,
aku terima dirimu.

Jika benar kau adalah jodohku, maka dengan izin Yang Kuasa
aku hanya untukmu.

Tapi,
jika kau hanya ujian dariNYA,
aku redha.


Nadiah Ayub

Selamat Tahun Baharu

Assalamualaikum

Setelah berbulan-bulan ditinggalkan, maka dengan ini terbukalah pintu hati ini buat kesekian kalinya untuk meneruskan sisa perjuangan penulisan. Comeback kali ini dimulai dengan pencerahan latarhias dan yang sama waktu dengannya. Zaman kegelapan sudah berlalu, yay !

Sebelum ni banyak sangat konflik ketamadunan yang aku lalui. Sekarang baru kenal erti menyesal. Padan muka kan.

Sebenarnya ada satu hal yang mendorong jari jemariku untuk mengeksploitasi papan kekunci komputer riba yang letaknya bukan di atas riba. Tapi, semua yang terlintas belum mampu dicernakan dalam bentuk penulisan.



Tata.


Credit: Google Image :D

K_______


Kau terbentuk dihatiku
Semakin jauh semakin menggebu
Cuba fahamkan aku mengapa kau ada disitu?
Sedang kita tak pernah melepas kasih walau sedetik waktu

Cuma akukah yang rindu
Atau kau juga begitu?

Nadiah Aj

I_______

Sehelai kain putih


Kubalut kemas kusimpan rapi

Kubawa bersama ke mana pun kupergi



Andai suatu hari nanti

Aku menyeru seruan Ilahi

Pakaikan aku dengan baju baruku ini

Biar bersama kami disemadi



Usah bertanya, usah meragui

Telah kusedia kafanku sendiri



Mohon talkinkan aku nanti


Nadiah AJ

H______


Malam ini
Malam bersatu
Hujan, airmata dan hati pilu
Malam ini
Malam yang akan berlalu
Malam jadi hantu
Malam yang akan dirindu

25 Nov 2012,
Nadiah Ayub

G______

Kau kirimkan aku
Sekumpulan kupu kupu
Yang hinggap dalam hati
Yang bersarang dalam senyap
Hingga kau terlupa
Yang kau tinggal bukan jejakmu
Sebaliknya si gadis yang merindu

Rindu akan dirimu.

CAT4641,
Nadiah Ayub

F______


Malam ini
Aku ingin menebar jala
Merambat hati hati luka
Walakin sendiri menahan sakitnya 

Usah bimbang kan berkelana
Kamu
Akan ku bawa bersama jiwaku
Meninggalkan kota ini bersama sedikit pilu 
Dan senyum palsu


E______

Mengapa kalut
Dalam menilai dan berprasangka
Mengapa kalut
Hingga kulit ditubuh dilapah lapah
Sibuk menunding nadi si pendosa
Sampai tak sedar jantung sendiri berdusta

Baguslah
Menilai hanya dengan sebelah telinga
Dan akal manusia yang luar biasa
Baguslah kalau selamanya kau setia
Baguslah
Jangan sampai kau yang lebih teruk dari si pendosa

Si Pendosa,
Nadiah Ayub.


D______


Manusia,
Terlalu bijak mendramakan hasrat
Membutakan yang celik hingga tak mampu melihat

Bagaimana kau mentafsir kesunyian
Sedang dirimu tak pernah hidup sendirian?

Mujur aku tersedar
Walaupun setelah hujan memalingkan wajahnya
Walaupun setelah ranap seluruh kota
Walaupun setelah ditinggal selepas habis percaya diguna

Kerana,
Ada pelangi yang indah menanti di hujung sana
Ada tanah yang masih boleh dibangunkan semula
Ada Tuhan Pencipta Yang Maha Kaya

Rasanya,
Kau hanya tahu membahasakan kesunyian
Dengan menghirup dara dara yang kau goda
Dalam syahdu munafiq cintamu.

Bahasa Kesunyian,
Nadiah Ayub.